Post mortem : Seorang manusia


Saya, ya, seorang manusia. 

sister and brother by ~dayswillpass

"Adik, kasih dan sayang itu, Allah yang beri. " Masya Allah.

Pagi itu, memang awal benar, saya sudah menahan ‘singa’ di dalam hati. Singa amarah yang kalau tidak ditahan, liarlah sikapnya pada tuannya seorang ini. Hari yang kononnya saya akan menjaga adik-adik di rumah disebabkan Mak dan Abah serta Anis (anak ketiga dalam keluarga) akan menghantar Arif (anak kedua keluarga) ke UiTM Penang, tiba-tiba bertukar rencana.

Memanglah benar tiada ‘tiba-tiba’ dalam hidup, melainkan mahu menguji. Saya benar-benar sempat menekan butang ‘pause’ di kepala menahan perasaan. Barang sebentar jika terlambat, mungkin teruk amarahnya – dibangunkan pagi-pagi sebab rancangan bertukar!

Tiba-tiba semua adik-beradik saya mahu ke Penang, menghantar Arif. Termasuk Sarah dan Nawawi yang kononnya akan diletak bawah jagaan saya hari itu.

Sudahlah menukar rancangan ikut suka hati dan last minute, tidak semena Sarah naik angin pula. Mukanya bertukar cemberut dengan badan belum berbaju tetapi kepala berserkup – nak tunjuk marah.

“Bukan Sarah memang mahu ikut, kan? Kenapa nak marah-marah pulak?” Suara saya. Mak hanya mendiamkan diri dan Abah sudah ke kereta.

Sarah membuat onar kecil – buku-buku teksnya dilempar ke tepi dan baju yang mahu dipakai main disumbat. Sekejap dia ke ruang tamu entah mencari apa, sekejap kembali ke dapur menyumbat dan mengeluarkan semula barang mahu dibawa.

Bingung kami melihat.

Geram juga saya melihatnya. Jika tidak kerananya dan Nawawi, tidak saya pulang sebelum siap membuat percubaan eksperimen Unit 6.

Tiba-tiba, dengan muka merah, Sarah menangis. Dikesat dengan lengan tidak beralasnya.

Melimpah kasihan pula saya melihat. Pagi-pagi dia bangun, mahu berkemas sebab mahu menghantar abang nan seorang ke Penang.

Perlahan, saya menolongnya berkemas dan sedikit-dikit, memintanya reda dan tenang.
Air matanya masih menitis.

Di ambang rumah, dengan dua tiga kali terusap pipinya yang basah, Mak memandangku.

“Sarah ni serba salah nak pergi (Penang). Sedih kakaknya kena tinggal seorang di rumah, padahal balik sebab nak jaga dia. Serba salah dia nak hantar Arif.”

Dush. ‘Singa’ dalam hati terus tumbang!

***
Malam ini, saya terkenang kisah dua hari lepas.

Nurmaisarah – atau dipanggil Sarah atau Yaya – itu adik bongsu saya. Acapkali letih kami melayaninya namun hatinya jauh sungguh murni.

Satu waktu Abah lewat pulang selepas menghantar barang dari Pulau Pinang, Sarah melukiskan atak kertas lukisan yang besar itu, lukisan kami sekeluarga.

Dan saat Abah melihatnya, Abah menitiskan air mata.

Tulis Sarah di situ, “Kesian Abah kerja penat-penat. Sarah sayang Abah.”

Satu waktu dulu, kuat juga Sarah anti Abang-abangnya, sebab kerap diusik dan dibuli. Mungkin hatinya yang cepat sensitif. Sehinggakan dia tidak mahu beradik-beradikkan mereka berdua (namun, manusia dua orang itu menyambut selamba sahaja gertakan budak sepuluh tahun itu).

Sarah pun terus menjeling sahaja seperti selalu, dan apa-apa dia akan menjerit memanggil Mak untuk menyelesaikan.

Saya, satu malam, berbaring dengannya dan bercerita.

“Sarah taknak Abang Arif dengan Wiwi tu jadi Abang Sarah. Dia orang jahat.”

“Tapi kan dia orang bergurau je mula-mula?”

Sarah menggeleng, dalam gelap. “Buat apa ada Abang macam dia orang?”

“Tapi Sarah pun salah juga. Sikit-sikit nak nangis. Mak asyik risau je nak jaga Sarah. Sarah dah besar, bukan? Kalau dia orang kacau Sarah, Sarah jagalah diri Sarah. Lagipun, Kakak pun marah dia orang. Kalau Sarah nangis, makinlah dia orang suka kacau!”

Sarah diam.

Saya semasa itu, hanya mahu Sarah menjadi dewasa sedikit. Mak saya sendiri pun, bukan semakin muda untuk menjaga Sarah dan saya juga bukan selalu di rumah untuk menjaganya. Memang Arif dan Wiwi yang salah sebab suka mengusik berlebihan, tetapi Sarah pula, pantang dijentik, melentik macam Hulk Hogan!

Diam Sarah lama. Dia masih tidak bersetuju.

“Sarah, kita adik beradik ada lima orang, bukan?”

Tangannya saya angkat. Menunjukkan lima jari atas sebelah tangannya.

“Kalau Sarah tak suka Arif, cuba Sarah buang satu jari Sarah. Senang tak nak makan bila tak cukup jari?”

Dia diam sebentar.

“Kalau tak suka Wiwi, buang satu jari lagi. Macam mana, boleh makan tak dengan tiga jari?”

Dia semakin diam – berfikir.

“Kita adik beradik, macam tangan kita ada lima jari. Adik beradik ni penting. Kita memang benci dia orang sebab ada perangai dia orang yang tak berapa best. Tapi, nanti bila dah besar, bila kita susah, adik beradik ni lah yang tolong kita.”

Dia menekap bibirnya.

“Kita tak mampu gembira dengan jari kita yang kita sendiri buang.”

Saya meneruskan kata. “Lalu, nak buang dia orang ke tak?”

Hanya setitis air matanya yang menjawab.

***
Di dinding bilik, penuh ditampal kertas lukisan putih gambar orang lidi kami sekeluarga.

Di dinding bilik juga, ditampal ‘I Love Allah, I Love Nabi Muhammad, I Love My Family’.

Saya melihat dia bukan semata selaku seorang kakak.

Tetapi seorang manusia.

Sebab, fitrah manusia : Mahu menyayangi dan disayangi. Jika kita tidak memberi, jika kita tidak menyayangi, apakah mampu kita disayangi dan diberi?


Hadis :


«قبل رسول الله صلى الله عليه وسلم الحسن بن علي وعنده الأقرع بن حابس التميمي جالسا، فقال الأقرع: إن لي عشرة من الولد ما قبلت منهم أحدا، فنظر إليه رسول الله صلى الله عليه وسلم ثم قال: (من لا يرحم لا يرحم)»

Nabi Muhammad sallalhu alaihi wassalam mencium al-Hasan bin Ali, ketika al-'Aqra bin Habis at-Tamimi duduk di sebelah Baginda. Al-'Aqra berkata, "Saya ada sepuluh orang anak dan saya tidak pernah mencium salah seorang pun dari mereka." Nabi memandangnya dan berkata, "Siapa yang tidak menyayangi yang lain, tidak akan disayangi." [Sahih Bukhari, Book #73, Hadith #26]
Seorang manusia.
Jiwanya manusia - memerlukan kepada sesuatu. 


Nikmati masa bersama, bila nanti ditarik saat untuk pergi,
Ada tinggalan yang masih menafasi kehadirannya. 


Musafir. 
-Masih di Akasia yang senyap.
Moga Allah mengikhlaskan.


Allahu a'alam. 

Comments

Popular Posts

KOLEKSI GOODREADS

The Humans Who Went Extinct: Why Neanderthals Died Out and We Survived
Recent Thought in Focus
God and Man in the Qur'an
The Positive Aspects of Tasawwuf: Preliminary Thoughts on an Islamic Philosophy of Science
A New System of Philosophy-Science from the Biological Standpoint
On Justice and the Nature of Man: A Commentary on Surah Al-Nisa' (4):58 and Surah Al-Mu'minun (23):12-14
The Natural and the Supernatural in the Middle Ages
God and Philosophy
From Satori to Silicon Valley: San Francisco and the American Counterculture
Islam and Secularism
Philosophy: The Essential Study Guide
Genesis and Development of a Scientific Fact
Representations of the Intellectual
Can Non-Europeans Think?
The Holocaust Industry: Reflections on the Exploitation of Jewish Suffering
Maus I: A Survivor's Tale: My Father Bleeds History
Slowness
The Architecture of Happiness
The New Rulers of the World
Seeds of Destruction: The Hidden Agenda of Genetic Manipulation


Nurshafira Noh's favorite books »