Konfeksi : Malam dan Harga Sebuah Kasihan

night by ~PSIHEYA.
"Kedinginan malam itu, selalu datang dengan ceritanya."



Sebuah malam yang indah.
Mana terbanding dengan sejuta lukisan yang dicipta-cipta.
Sebuah malam yang indah ini
Meneman dengan halwa kedinginan yang mendamaikan
Apa terganti dengan hawa dingin dari mesin kelabu berasap-asap itu?

Ianya seolah bernyawa dengan abstrak bergeraknya
Dan aku seorang pengkagum-Nya
Tukang lukis yang memberi nyawa.

Ya, tukang lukis yang memberi nyawa.
Bahkan nyawa pada yang nyawa kala melihat lukisan ini.

Royal City - Mac 2012.

Aku namakannya demikian - Royal City. Padahal tempat itu adalah satu tempat yang kau tahu juga, cuma ya, nakal-nakal aku ini mahu menggelarkannya demikian. Suka hati akulah mahu menamakannya (maaf lah Tuan Bandar, aku sesuka menukar namanya!)

Ah, lupakan soal nama-nama ini! Malam ini seperti selalu, imbasan mataku masih kuat dan terang untuk melihat apa yang terjadi. Menangkap garis-garis lukisan Tuhan di alam buana yang penuh kefanaan. Menuntut sedikit kefahaman untuk menterjemah abstrak lukisan-Nya. (sebenarnya tidak abstrak, cuma mata manusia ini rabunnya banyak!)

Duduk di birai-birai jalan, aku enak juga memerhati seluas apa aku mampu. Tanganku memagut seplastik barang, yang baru lunas sedikit wangku teralir masuk mesin di pasar beli-belah di sebelah sana tadi.

***

"Keropok ni jauh datang, dari Terengganu. InshaAllah, isinya ikan dan tepungnya kurang. Harga saya jual RM10." Begitu agaknya kata-kata pakcik berbaju kemeja kelabu garis-garis halus.

Sebungkus plastik yang buncit dengan keping-keping kering, disua kepada makcik di depan yang sedang enak berpinggan-pinggan habis licin dengan anak-anaknya dua tiga muka di situ.

Dan makcik itu elok sahaja terus tangannya menggodek-godek nasi sebutir dua di pinggannya (padahal lama sudah licin!) tetapi matanya sekadarnya dihala ke pakcik itu. Si suami (barangkali) di depan makcik itu leka sahaja buat-buat tidak memandang.

Dan aku lalu sekadarnya di situ.

Boleh sahaja aku berbisik - "Ah, perniagaan pakcik baju kelabu itu tidak laku!" kerana itu malam-malam masih mahu menjual itu ini, memujuk sana sini. Sedang berlambak juga keropok sedimikan di kedai runcit lain bertag harga murah.

Namun, kala ku lihat sang bulan yang sudah singgah dan pasar beli-belah di sebelah aku pergi tadi pun sudah mahu tutup, peluh dan keringat pakcik berbaju kelabu itu yang aku terpandangkan.

Lalu ku terbayang, entah bagaimana rumahnya. Entah anaknya ada yang sakit demam atau apa. Entah berhujan atau tidak malam ini dia dengan poket seberapa. Ah!

Lalu ku terlihat senyuman pakcik berbaju kelabu itu yang masih tidak terbalas dengan makcik di depan itu. Ah, kuatnya diri untuk tersenyum di kala malam orang lain sudah kenyang menggendong perut, dia masih berusaha di sana. Di celah orang lain menangguk rezek masih ke mulut, dia mencuba rezeki sendiri di celah meja-meja itu.

Lalu ku terlihat pakcik berbaju kelabu itu setia berdiri dan mencuba sedang makcik itu sekeluarga buat endah tidak endah dan molek sahaja duduk.

Aku terdiam melihat ragam warga Bumiku. Warga Tanah Melayu ini. Yang sama songkoknya dengan bapaku. Yang sama kulitnya dengan emakku. Anak-anak sama jenis sekolah dengan aku dan adik-adik. Masakan, aku tidak terasa apa.

Ya, harga keropok sebungkus itu murah sahaja bukan? Tetapi harga sebuah kasihan ini, selautan bayarannya.

Malam minggu lalu, lelaki berbaju kemeja juga cuma berwarna lain, mampir kepadaku. Dia orang Tiong Hua. Matanya sepet. Dan menghulurkan aku sepasu bunga mainan yang bergerak dengan tenaga solar. Dan aku cuma mampu membayarnya sebentuk senyuman. Dan sepotong doa, meski itu tidak mampu mengayakan dan menjadikannya berwang.

Untuk kesemua pakcik-pakcik dan makcik-makcik itu, aku doakan diri aku untuk satu hari nanti bisa membayar nilai kasihan ini secara langsung. Jika poketku sanggup, aku beri apa aku mampu, tetapi melihat kamu semua, azamku semakin tinggi.

Aku mahu kamu ada tempat berteduh untuk berniaga dengan segala usaha dan kecekapan. Aku mahu melihat produk-produk kamu diinovasikan dan dicipta jauh untuk kepentingan poket dan suapan makan. Namun, jauh dari itu, aku mahu harga kasihan ini akan berkurang. Aku mahu aku bergerak untuk membaguskan kamu semua, hingga anak-anak mu tahu, tegak maruah bangsa ini adalah jua dengan kamu.

Lalu tempatmu itu, aku akan elokkan. Aku akan semat kamu semua dalam peta azam dan impian aku.

***

Malam ini, aku selalu berharap untuk berulang. Mana tahu, melihat pula anak-anak mereka sebagaimana ya? Lalu ku angkat plastik barangku, dan pamit pulang.

Dengan sebuah lagi tampalan di hati sendiri.

ZenFira. 
Kepenatan membelek kertas-kertas, mahukan kerehatan. 
Kerehatan yang mampu membayar satu harga harapnya.

"Sebaik-baik manusia, adalah yang paling bermanfaat kepada manusia lainnya." Kata pemimpin kita, Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wassalam. 

Comments

  1. Suka baca blog ini. sorry, salam kenal. menghiburkan minda akak yang penat bekerja

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih, kak. Akak tahu, disebabkan ucapan akak inilah, saya kembali ingin menulis dan menemui lagi diri sendiri. Terima kasih, kak. Semoga Allah permudahkan urusan akak di sana, di samping manusia-manusia dan anak-anak yang comel dan membahagiakan. :)

      Delete

Post a Comment

Popular Posts

KOLEKSI GOODREADS

The Humans Who Went Extinct: Why Neanderthals Died Out and We Survived
Recent Thought in Focus
God and Man in the Qur'an
The Positive Aspects of Tasawwuf: Preliminary Thoughts on an Islamic Philosophy of Science
A New System of Philosophy-Science from the Biological Standpoint
On Justice and the Nature of Man: A Commentary on Surah Al-Nisa' (4):58 and Surah Al-Mu'minun (23):12-14
The Natural and the Supernatural in the Middle Ages
God and Philosophy
From Satori to Silicon Valley: San Francisco and the American Counterculture
Islam and Secularism
Philosophy: The Essential Study Guide
Genesis and Development of a Scientific Fact
Representations of the Intellectual
Can Non-Europeans Think?
The Holocaust Industry: Reflections on the Exploitation of Jewish Suffering
Maus I: A Survivor's Tale: My Father Bleeds History
Slowness
The Architecture of Happiness
The New Rulers of the World
Seeds of Destruction: The Hidden Agenda of Genetic Manipulation


Nurshafira Noh's favorite books »