Konfeksi Nano : Rahsia Hujan


Kredit gambar : Rain Light oleh Kateey.
"Mungkinkah ada titisan air matamu di dalam titisan hujan itu?"


Buku itu, sederhana nipis. Hujung kulit muka depannya sudah terobek dan ada kesan calit sambal yang sudah mengering di situ. Aleya pegang kejap lalu dibuka entah muka surat berapa buku itu. Tidak bernombor, sebenarnya pun. 

Sekejap sahaja, tulisan senget-senget ke kanan yang agak berangkai, memasuki penglihatannya.

"Aku tidak mampu memberi senyum sedang diri aku sendiri di dalam lemas dengan hujan tidak berpayung.

Aku tidak mampu menipu diri sendiri, saat kau bertanya sihat atau ceria tidak aku sedang aku tahu, hak kamu memiliki kebahagiaan juga dari ku."

Terjeda sebentar. Diulang-ulang baris tadi, seolah merasakan kesakitan tuan empunya buku. Adakah ini sebabnya kau semakin menyorok lukamu? Lalu, yang kau hidangkan adalah sisa baki bahagiamu? Adakah aku terlupa hal kelukaanmu, rafikku? Monolog Aleya seolah tercampak keluar, menghiasi kerutan di wajahnya.

Ditelek ayat seterusnya.

"Aku bukan manusia paling baik namun kau tahu keinginan kita menjadi paling sempurna itu terlalu kuat.

Lalu aku mahu mengalah. Biarlah kau dilihat baik dan lebih baik.

Aku menghilang. Luput dalam awan-awan yang terkondensasi lalu hanya menyapa khabarmu bila hujan itu tiba semula.

Kau lalu menarik keluar payung lalu berteduh dari sapaan ku.

Begitulah aku mahu menjadi."

Renyuk sedikit hujung muka itu dek Aleya kuat menggenggamnya. 'Akukah rafiknya yang menggadaikan sahabat sendiri?' Mukanya membahang; seolah kehangatan itu bisa mengeringkan air mata yang mahu tumpah. 'Mengapa langsung gagal kaunyatakan marahmu, kesalmu padaku?'

"Hujan-hujan yang tidak tetap datangnya. Mungkin dirungut bila hadir namun aku tahu, aku mengindahkan lanskap dunia dengan masuk membawa kesegaran pada tanah-tanah dan akar-akar dedaun di atas.

Aku cuma mahu berlari dari segala rantai ini. Aku sakit sudah lama.

Dan di bawah, kau bahagia melihat aku diserak segaris cahaya lalu terserlah dalam lapisan warna tujuh berbeza pekat."

Mengapa deritamu menjadi rahsia yang tersimpan? Jemarinya dibawa ke tulisan berangkai itu, seolah menyentuhnya mampu menyampaikan sentuhan itu kepada tuan buku ini. Diusapi ayat-ayat yang ditulis itu dengan perlahan, Aleya pandang dengan dalam aksara-aksara itu. 

Dia langsung lekas-lekas menyambung pembacaan. Halaman lain yang dibuka sekarang, tulisannya sedikit berbeza. Lebih bulat-bulat dan montok, tegak ke atas dan kurang ditekan.

"Kau tahu, rupanya sakit memberi itu akan hilang dibawa Tuhan jika kita ikhlas

Umpama air mata kita yang tersejat

Kalaulah kita mampu mengumpulkannya dalam sebiji bekas

Akan terlihat, renik mutiara di pipi kita tadi dirafakkan ke langit, lalu berkumpul dengan seisi air-air lain jenis di udara

Lalu kian lama, titisan air itu membentuk awan yang indah"

Transisi emosi. Aleya tiba-tiba aneh. Hilangkah sudah deritanya?

"Lalu kian lama, titisan itu semakin membanyak dan memberatkan sang awan

Ya, tahu-tahu awan nan berat itu akan menumpahkan isinya; menyirami gersang tanah mana-mana; menumbuhi tunas-tunas yang seakan mahu mati; juga menyimbah sedikit keriangan buat mereka yang sukakan kehadiranmu

Awan yang cantik berkepul-kepul itu, hujan yang rintik dan lebat membasahi itu, membahagiakan

Dan di dalam titisan itu, salah satunya titisan air mata kita yang terluka tadi."

Kenyamanan menyelinap masuk menghembus anginnya. Aleya jadi damai sendiri. Titik derita itu tidak lama. Titik kepenatan itu langsung sekejap.

"
Beramallah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan."

Kau petik juga Ayat Tuhan itu? Ya, ya, ayat Surah Baraah yang ke-105. Sungguh, ayatnya Tuhan itu sangat intim buat kita. Tepat dan kena pada waktu. Ajaib. Elok sahaja disimpan ini, buat penglihatan masa muka. 

Senyum berlepas hiba. Mungkin sengaja Tuhan menemukan buku ini tadi.

Dilihatnya, awan berarak rendah hari ini. Aleya meletakkan buku itu di tempatnya semula, dia mahu keluar dan menikmati keindahan Tuhan. Kakinya sudah mahu melangkah namun tiba-tiba terhenti sebentar.


Dkeluarkan sebatang pensil daripada kocek. Dia mahu mencalit sesuatu di halaman-halaman itu. 


"Kau tahu, 



Aku berpayung tiada di bawah hujan

Merengguk kesejukan masuk ke tulang

Lalu ku iri melihat manusia yang berteduh bawah payung

Rupanya aku yang silap asyik menunggu hujan untuk teduh,

Menunggu orang menghulur payung

Mengapa tidak aku sedia membawanya sendiri?

Dan

Salahkah jika diredah sahaja kesejukan dan kebasahan?"



Pensil diletak kembali ke dalam kocek. Keabadian tulisan itu, akan berterusan selagi mana kertas itu tidak lunyai dan rosak. Dia berharap, apa yang abadi itu selamanya hanya kebaikan. Sebelum berpapasan pergi, di dada buku, terimbas suatu nama yang membuatnya senyum jua.

"Aleya"


Sijangkang. Ramadan Mubarak. 0431.

Sesungguhnya sesetengah daripada kata-kata yang memukau itu adalah sihir, dan sesetengah daripada ungkapan puisi itu adalah hikmah. (Hadith riwayat Ibn Mājah).



Comments

Popular Posts

KOLEKSI GOODREADS

The Humans Who Went Extinct: Why Neanderthals Died Out and We Survived
Recent Thought in Focus
God and Man in the Qur'an
The Positive Aspects of Tasawwuf: Preliminary Thoughts on an Islamic Philosophy of Science
A New System of Philosophy-Science from the Biological Standpoint
On Justice and the Nature of Man: A Commentary on Surah Al-Nisa' (4):58 and Surah Al-Mu'minun (23):12-14
The Natural and the Supernatural in the Middle Ages
God and Philosophy
From Satori to Silicon Valley: San Francisco and the American Counterculture
Islam and Secularism
Philosophy: The Essential Study Guide
Genesis and Development of a Scientific Fact
Representations of the Intellectual
Can Non-Europeans Think?
The Holocaust Industry: Reflections on the Exploitation of Jewish Suffering
Maus I: A Survivor's Tale: My Father Bleeds History
Slowness
The Architecture of Happiness
The New Rulers of the World
Seeds of Destruction: The Hidden Agenda of Genetic Manipulation


Nurshafira Noh's favorite books »