Bumbung-bumbung Tanpa Tiang



"Banyaknya bumbung, kan?"

Aidil menggerenyet bahuku. Tanganku lalu digamit, dibawanya aku ke hujung benteng. Angin kuat pula petang-petang begini.

"Banyaknya bumbung, kan?" Soalannya diulang. Budak sekecil dia itu, entah apa difikirkan. Aku pun mengangguk, belum ada lontaran lanjut.

"Kenapa ada banyak bumbung?"

"Sebab ada banyak rumah." Logikku yang malas dan mudah. Petang-petang begini, mana mahu berfikir sangat.

"Kenapa ada banyak rumah?"

"Erm.. Sebab ada banyak orang. Ada banyak orang, jadi semua ada rumah masing-masing."

"Kenapa tak duduk satu rumah?"

"Eh, mana boleh. Kita bukannya kenal semua orang. Bukan semua orang kenal kita. Baha..ya." Ada rasa tak sedap menjalar masuk dalam hati.

Aidil menoleh kepadaku, usai mengjingkit-jingkit di tepi benteng itu untuk melihat bumbung-bumbung. "Kenapa bahaya? Aidil selalu datang rumah Fuad, ayah dia baik. Mak dia selalu bagi makan aiskrim."

"Itu rumah orang yang baik. Kalau rumah orang jahat, macam mana?"

"Sebab ada orang jahat, sebab tu tak boleh ada satu bumbung?"

"Kalau satu bumbung ja ada kat dunia ni, mana nak nampak langit…" Tiba-tiba aku terasa ayat ini lebih daripada literalnya.

Aidil yang entah mengerti yang mana, cuma mengangguk-anggukkan kepalanya yang kecil, berambut agak lebat dan hitam. Dia tersibuk pula bermain-main dengan jemarinya sedang aku mendongak menghadap langit.

Semalam, sewaktu mengaji dengan ustaz Zaidi, jua waktu berborak dengan Farr tentang 'fakkara' dan 'tafakkara', aku memang teringatkan langit. Aku dah lama kurang rasa zouq dengan langit; padahal Tuhan minta kita tafakkur melihat langit, melihat Bumi. Disebabkan keberatan dan kemalasan ini, aku memang memohon Tuhan sampaikan aku pada-Nya semula, merasa nikmat pada hal yang tercapai lebih daripada jangkaun dan batas mata.

Aidil, soalanmu, dik, jua jawapanku.

Sebegitukah aku melihat manusia di 'bumbung-bumbung' berbeza? Menyebut mereka bahaya, sedangkan saat salam bersapa, bukankah gugur segala curiga, bak kata Allahyarham Usman Awang?

Sebegitu jugakah aku, me'rumah'kan diri kerana merasakan bahayanya 'rumah-rumah' lain? Sebenarnya, bagaimana nilaian aku tentang baik dan jahat ini? Ikut kata siapa? 

"Majoriti bukan menentukan kebenaran," kata ustaz dua hari lalu.

 Allah!

Bumbung-bumbung ini semua, akankah mengembalikan kita semua pada bumbung yang meliputi kita semua ini? Bumbung nan meliputi itu, wujud al-wajib (tulis ustaz Zaidi, adalah al-hikmah al-ula, atau first philosophy). Kala kita masuk dan teduh (kalau sekadar berteduh) dalam 'rumah-rumah' lain itu, kembalikah kita kepada mengingat Tuhan? 

Saeculum itu, hari ini aku faham satu hal yang tidak pernah Allah kurnia - ke-kini-an itu, bukan sekadar "buat untuk sekarang", tetapi juga, "hasil dan impaknya hanya untuk sekarang". Itu saeculum, itulah sekular. Manusia berfikir dan berbuat untuk hari ini, tanpa di ingatannya ia berbalik dan bahawa kesannya ada di "hari akan datang". *Teringat Nietzcshe pasal ke-kini-an ni.

Allah!

"Kakak?" Aidil. 

"Ya?"

"Angin kuatlah atas bumbung ni. Aidil takut." 

Aku tersenyum. Atas bumbung ini, anginnya kuat sekali. Laju, aku terpa badannya ke dakapanku. Tuhan, kurniakanlah kami hikmah, agar kami selalu terlihat jalan keluar, meski secuil pun.

Tuhan, di atas dunia ini, kami cipta tempat teduh kami dengan banyaknya bumbung. Banyak sekali, Tuhan. Tetapi, kami sebenarnya masih di bawah satu bumbung. Bumbung langit, meski tiada ternampak akan tiangnya.

Menembus dinding-dinding ini semua, terlihatkan akan apa sepatutnya kita lihat? Apa kata, kita lihat daripada ufuk bumbung nan berangin ini?

Jua, jika sekadar tahu berbumbung yang bagus, jika tidak dibina bumbung itu atas rumah sendiri, ya sama juga tidak berbumbung yang bagus. 



28031435. 
Shah Alam. Sedang membaca 'Al-Hikmah: Berwacana Perihal Fenomena' tulisan ustaz Zaidi Abdullah; yang juga menekan diri sendiri untuk membaca tulisan Prof Syed Naquib al-Attas, 'Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandang Alam'. Sambil-sambil membaca tulisan Henry Giroux (di sini) yang bersangkut pendidikan masani. 

Sisipan sebelum habis: Al-hikmah itu, menurut Sheikh al-Islam Zakariya al-Ansari dalam bukunya al-Hudud al-Aniqah, adalah "meletakkan sesuatu itu pada tempatnya". Petikan daripada buku 'Al-Hikmah: Berwacana Perihal Fenomena'. 

Comments

Popular Posts

KOLEKSI GOODREADS

The Humans Who Went Extinct: Why Neanderthals Died Out and We Survived
Recent Thought in Focus
God and Man in the Qur'an
The Positive Aspects of Tasawwuf: Preliminary Thoughts on an Islamic Philosophy of Science
A New System of Philosophy-Science from the Biological Standpoint
On Justice and the Nature of Man: A Commentary on Surah Al-Nisa' (4):58 and Surah Al-Mu'minun (23):12-14
The Natural and the Supernatural in the Middle Ages
God and Philosophy
From Satori to Silicon Valley: San Francisco and the American Counterculture
Islam and Secularism
Philosophy: The Essential Study Guide
Genesis and Development of a Scientific Fact
Representations of the Intellectual
Can Non-Europeans Think?
The Holocaust Industry: Reflections on the Exploitation of Jewish Suffering
Maus I: A Survivor's Tale: My Father Bleeds History
Slowness
The Architecture of Happiness
The New Rulers of the World
Seeds of Destruction: The Hidden Agenda of Genetic Manipulation


Nurshafira Noh's favorite books »