Cantik II

Didepangkan jemari yang mengulum tadi lalu direntangkan sebuah ‘hamparan’ dengan terbukanya jari-jemari tangan, merasakan angin-angin yang lepas bebas di atas tangan. 

“Angin, siapa sahaja pernah menyentuhnya. Lembut elusannya tetapi tidak pernah bersentuhan. Kau, manusia, takkan memiliki angin. Angin ini kepunyaan semua, terlebih lagi adalah milik Tuhan. Angin, tiupannya mendamaikan, petang tak senang tanpa tiupan si angin. Ia halus, tetapi bisa menumbangkan.”

“Kalau begitu, aku mahu menjadi seperti angin, Re. Wanita angin.”

“Cepat naik angin... “

“Hey, tapi cepat pula reda.”



Aku tersenyum dengan bicara Aure. Berbahasa yang indah, bukan semata retorik, meskipun retorik dan balaghah itu adalah sebahagian daripada bahasa. ‘Allamahul bayan. Aku suka sekali dengan jawapan Prof al-Attas pasal ‘al-bayan’ (penerangan) sebab selepas beliau cakap pasal al-bayan ni lah, aku sedar bahawa bahasa yang aku sebut ni, bukan indah sebab aku bermain dengan majaz sahaja (ya, ya, aku suka main metafora) tetapi aku berpandangan, keindahannya adalah sebab bahasa itu sendiri cerminan aqal aku.

Apabila bahasa tersusun, sebenarnya ia pantulan daripada ilmu dalam aqal sendiri. Tak jarang, aku perasan, ‘bila ada orang ingin jaga bahasa, dia akan digelar ‘sasterawan’ atau tak pun, ‘pemuisi’. Dikirakan, bahasa yang baik itu adalah ‘milik’ atau pantulan manusia yang jiwanya halus dan berseni (seni itu sendiri kena didefinisikan). Lalu, dikirakan, bahasa yang baik itu adalah bahasa baku yang macam orang dunia mana cakapkan.

Kena bezalah; bahasa perbualan dengan bahasa penulisan, pastilah ada beza (tapi aku selalu mengimaginasikan keadaan di mana dialog-dialog dalam novel tu boleh dibicarakan dalam perbualan).

“Indi... “

Renungan terhenti. Aku pun angkat wajah, memandang teman di depan. Dia sibuk mengadah pandangan ke lapangan hijau di depan jendela.

“Apakah salah kalau kita tidak cantik?”

Soalan jenis apa ni? “Siapa ‘kita’ yang kau maksudkan?”

“Sesiapa.”

Aku tukar stail duduk – bersila lalu kaki berlipat dalam pelukan kaki nan dua itu. Soalan ini pertinent-kah? Pentingkah untuk ditanya? Prof Zainiy Uthman ada sebut, kita harus tahu tanya soalan yang penting.

“Kenapa kau tanya soalan ni?”

“Implikasi. Aku nak tahu, apa implikasi daripada jawapan kau.”

Aure masih menghadap jendela yang terbuka, sedangkan aku duduk bersebelahan dengannya dan memanggu kepala menghadap ke dinding, arah yang berlawanan. Soalan-jawapan, ah, seringkali bisa memberi kesan yang lebih mendalam dan mendasar. Kita akan menjawab berdasarkan cara pandang kita yang lebih besar tentang satu hal itu. Ketatkah, longgarkah, sederhanakah ...  dan ini semua bergantung kepada si penyoal juga.

“Apa soalan kau tadi, Re?” Aku tanya semula.

Aure yang masih memandang ke luar, menjawab, “Apakah salah kalau kita tidak cantik?”

Angkat punggung, dan aku pusingkan badan menghadap dataran hijau yang berada di luar rumah. Bahu kami berlaga dengan hujung baju kapas yang kami pakai. Orang melankolik seperti Aureolin itu, sebegitulah – kejap dia ceria benar bermadah berpuisi namun bisa sahaja dalam seminit, jadi pilu dan ‘terjun ke dasar laut’.

Di depan kami, pokok lalang bergoyang-goyangan di sebelah belantara nan jauh. Rerumput hijau yang tegak pun sama berlambaian. Perlahan, aku mekarkan senyum dan kubilang begini:

“Kau tanyakan, ‘apakah salah kalau kita tidak cantik?’ sedangkan mengapa kau sendiri meletakkan perihal cantik itu sebagai keadaan tak pasti dengan menggunakan ‘kalau’? Apakah memang kau telah rasakan kau tidak cantik atau kau khuatir adanya kemungkinan untuk kau merasakan kau yang cantik itu sebenarnya tidak cantik, atau bagaimana?”

Aure membiarkan kalimah daripada aku terus berlantunan, bergerak dalam tiupan angin petang.

“Lalu, aku terfikir akan satu hal, Re. Apakah cantik hodoh itu ada salah betulnya? Dia bersalah sebab hidungnya sumbing sedikit, atau dia betul sebab tudungnya lurus tegak, ah, begitu?”

Aku tak rasa, soalan Aure itu adalah soalan tentang etika dan protokol.

* * *
Mata manusia tidak pernah melihat angin, tetapi bisa lihat kesan daripada adanya angin. Daripada angin yang bertiupan yang saban hari selalu membahagiakan aku kala memandang pepohon yang bergoyangan, aku belajar satu hal tentang diri seorang wanita.

Jika wanita umpama angin, dia tidak mungkin terjajahkan. Dia halus, tetapi tak pula bersentuhan. Dia lembut, tetapi tak bisa dipegang. Menjadi umpama angin, kita bisa menyampaikan getaran suara, membawa pesan atau alunan-alunan. Kala bersemburan minyak wangi, keharumannya dibawa bersama; jua seperti itulah, kalau debu dan asap-asap kelabu yang mahu ditumpangi.  


Cuma, awalnya, wanita harus mengetahui dan memahami, bagaimana menjadi wanita. 

Menjadi manusia.

Hujungnya: "Re, nanti habis melankolik, pergi baca buku 'Rethinking Muslim Women and the Veil'[1], ya. Buku tu bukan pasal tudung, hijab sahaja!"

Aureolin tergelak dan dush, baling bantal kat aku.

And the little prince added, "But eyes are blind. You have to look with the heart." (Little Prince, Antoine De Saint-Exupery, muka surat 32)


060414.
Shah Alam.
Usai pulang syarahan al-Attas, menyusun kebahagiaan dengan menyambung tulisan yang tergendala. 
Dan ya, kerana angin juga, harum bau mawar itu sampai ke deria-deria kita.

[1] Buku ini ditulis oleh Dr Katherine Bullock. Tesis PhD beliau adalah 'Politics of the Veil'.

Comments

Popular Posts

KOLEKSI GOODREADS

The Humans Who Went Extinct: Why Neanderthals Died Out and We Survived
Recent Thought in Focus
God and Man in the Qur'an
The Positive Aspects of Tasawwuf: Preliminary Thoughts on an Islamic Philosophy of Science
A New System of Philosophy-Science from the Biological Standpoint
On Justice and the Nature of Man: A Commentary on Surah Al-Nisa' (4):58 and Surah Al-Mu'minun (23):12-14
The Natural and the Supernatural in the Middle Ages
God and Philosophy
From Satori to Silicon Valley: San Francisco and the American Counterculture
Islam and Secularism
Philosophy: The Essential Study Guide
Genesis and Development of a Scientific Fact
Representations of the Intellectual
Can Non-Europeans Think?
The Holocaust Industry: Reflections on the Exploitation of Jewish Suffering
Maus I: A Survivor's Tale: My Father Bleeds History
Slowness
The Architecture of Happiness
The New Rulers of the World
Seeds of Destruction: The Hidden Agenda of Genetic Manipulation


Nurshafira Noh's favorite books »