Untuk Karlsruhe

Untuk Karlsruhe, 

Aku suka sekali dengan apa Ian Dallas tulis tentang politik, katanya, "The end result, then as now, was to reduce politics to the permanent exercise of suspicion.[1]" Kita sudah lama tidak bertukar perkhabaran, namun salah satu hal yang kian menghimpit keadaan dan suasana di sini kini, mungkin kau juga tahu, adalah akan hal seperti ini. Aku bisa ngerti, Ian Dallas menulis soal Revolusi Perancis dan soal pena Marat yang melingkarkan lagi amarah massa apabila menukilkan ayat itu, namun ayat itu bergaung dalam benak, merefleks keadaan di zaman sendiri.

".. permanent exercise of suspicion."

"... suspicion."



Penangkapan orang bisa berlaku dengan status "Dia itu seorang berbahaya untuk negara", bahkan lebih jauh teruknya meski dengan cuma sebuah kebarangkalian di dalam suatu sangkaan "Dia itu berkemungkinan berbahaya." Dia itu bersalah melainkan terbukti dia sebaliknya lalu ditahan terus dalam sel-sel  seperti di Guantanamo bahkan juga di Kamunting sini! Ah, itu di pihak yang di sini. Di satu sisi lain, demi sebuah kecurangan yang sudah acapkali dirasa (seperti banyak pihak sering sebutkan), pihak yang sisi lain ini juga kadang tidak lepas daripada memutuskan hanya atas sebuah sangkaan sahaja. 

Lalu, kau tahu, aku pun sebenarnya terpempan sejenak di dalam bas apabila usai kami berbual soal hal-hal ideologi dan isu kewanitaan dengan seorang teman dalam bas ke Bangsar, dia tanyakan kepadaku begini:

"Lalu, sebenarnya mana satu yang betul ni?"

Dan anehnya, pertempuran ini tidak lagi sama dengan pertempuran-pertempuran di zaman dulu; pertempuran yang ada kini semacam kekal dan bisa diulang-ulang baca, diulang tayang dan diulang sebar dengan pelbagai saluran, seolah apabila diulang, semacam baru terjadi dan kesannya sampai pun terulang-ulang.

Kesan atas sebahagian besar sangkaan-sangkaan ini.

Dan anehnya lagi, setelah bereaksi oleh sekalian yang pernah tahu hal-hal sangkaan itu, tidak berapa lama sangkaan-sangkaan yang berapi yang telah meninggalkan kesan kepanasannya dan terbakarnya, ia tiba-tiba lesap dan hilang. Ada sangkaan-sangkaan baru pula untuk diberi 'perhatian'. Ah! Bila dan kapan sangkaan-sangkaan yang diberikan reaksi ini akan disahkan betul, tepat dan salahnya; siapa pula yang sebenarnya melakukannya? 

Perhatikan juga perkataan yang Ian Dallas gunakan di dalam ayatnya tadi. Kau perasan, dia tulis "to reduce politics"? Perkataan 'reduce' yang dia gunakan itu, buat aku mahu tahu (atau sebetulnya mahu memahami lagi jika telah pernah tahu), lalu apa politik yang tidak direndahkan? 

Namun, kau pun harus tahu, aku yang maseh dalam takah belajar ini, banyaknya akan menukilkan soalan berbanding jawapan; namun tidak pula menyoal itu bermakna meragukan. Kata Imras, seorang temanku, perihal kompleksiti masalah, dia bilang kalau kita berjiwa besar untuk tidak merendahkan kompleksiti (dengan merasakan jawapan itu binari -ada dua itu sahaja-), kita akan ketemu jawapan kepada solusi dengan sebuah perspektif berbeza. Aku tahu dia bernada optimis dan optimisnya dia itu bukan terlalu terawang, cuma harus berusaha gigih untuk merungkaikan kompleksitinya itu.

Sayangnya, kerana sudah terbiasa dengan sangkaan-sangkaan, banyak manusia tidak pula selalu jelas dapat membezakan antara sangkaan dengan yang namanya sebuah kenyataan. Dua hari lalu, Fatimah menghadiahkan daisi Gerbera berwarna pic kepadaku. Sewaktu aku bawa pulang ke rumah, anehnya, aku bertanya begini kepada diriku:

"Apa bunga ini betul-betul betul?"

Kau tangkap apa yang kulontarkan? Hari sudah mahu senja; tidak mahu menunda mendengar bang Maghrib! Salam sayang daripada Brunsfield, Shah Alam, untuk kau yang di Karlsruhe. Aku belum juga tahu, apa sejarah Bumi Bismarck itu, hai kawan. Harus ceritakan kembaramu ke Bosnia juga, kalau ada waktu!

Oh, ya! Kalau kau belum tahu, pena Marat itu pun terhenti dengan tikaman pisau si Corday. 


Rujukan:
[1] The Time of Bedouin. (2006) Ian Dallas. Muka 10. 

Comments

  1. suka baca cara tulis hikayat begini (y)

    ReplyDelete
  2. Saya kagum dengan tulisan awak.sarat nilai estetika seni.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts

KOLEKSI GOODREADS

The Humans Who Went Extinct: Why Neanderthals Died Out and We Survived
Recent Thought in Focus
God and Man in the Qur'an
The Positive Aspects of Tasawwuf: Preliminary Thoughts on an Islamic Philosophy of Science
A New System of Philosophy-Science from the Biological Standpoint
On Justice and the Nature of Man: A Commentary on Surah Al-Nisa' (4):58 and Surah Al-Mu'minun (23):12-14
The Natural and the Supernatural in the Middle Ages
God and Philosophy
From Satori to Silicon Valley: San Francisco and the American Counterculture
Islam and Secularism
Philosophy: The Essential Study Guide
Genesis and Development of a Scientific Fact
Representations of the Intellectual
Can Non-Europeans Think?
The Holocaust Industry: Reflections on the Exploitation of Jewish Suffering
Maus I: A Survivor's Tale: My Father Bleeds History
Slowness
The Architecture of Happiness
The New Rulers of the World
Seeds of Destruction: The Hidden Agenda of Genetic Manipulation


Nurshafira Noh's favorite books »