Catatan Atas Bas

Seorang makcik pakai kurung coklat berbunga ungu. Satu satu popcorn masuk dalam mulutnya. Mulanya tadi dia buka ikatan tali rafia di leher plastik itu, lalu perlahan tangannya yang dah berkedut sedikit dimasukkan ke plastik dan mencapai mana bertih yang tersentuh.

Ada yang jatuh ke bawah dagu lalu terperosok ke lipatan bajunya yang coklat pekat atau kadang, ditelek dua tiga biji sebelum masuk ke mulut. Adakah tiga jalur kek pandanku membuatkannya teringatkan bertih-bertih kuning putihnya itu? Tiba-tiba aku rasa menyesal kalau ketidaksensitivitianku buat dia rasa lapar.

Di kirinya ada plastik merah yang dalamnya ada dua set periuk berbalut - baru lepas membeli? Banyak sekali beg kain yang perlu dibimbit, dua kukira. Dengan yang disandang di bahu kanan lagi, eh.

Satu dua cubit bertih tak henti masuk dan dikunyah. Adakah itu bertih yang sama di rumahnya yang juga dikemam-kemam anahknya? Kalau aku, memang sedap mengemam rasa manis bertih itu sampai gulanya larut masuk ke celah pori lidah.

Masuk ke bas, ada pakcik berkopiah putih merenungku di bibir tangga. Matanya mencerun, seolah hobinya dalam bas (hobi kan kerja masa lapang) adalah merenung orang tanpa kisah. Duduk sahaja aku, dia buka cerita, tak, tak, bukan kepadaku; sembangnya dengan tuan drebar bas.

"Nasib baik hari tu kemalangan sikit lagi tak kena" dan disambung bagaimana rapatnya keretanya dengan kereta yang menghimpit. Ah, bunyi gear dan tayar, buatkan aku hanyut untuk tidak mendengar keseluruhan cerita.

Pakcik drebar melayannya. Cerita pasal JPJ. "Komputer kita boleh adjust, macam telefon bimbit." Ada bas yang senang sahaja lepas ujian JPJ tetapi ada pula yang sama kriteria, tidak lepas-lepas. Aku syak, pakcik berkopiah ni kenal rapat dengan tuan drebar, tapi aku masih hanyut - mataku merenung bola-bola cahaya yang bertindih-tindih dan berjalur-jalur di jalan raya. Katanya, disebabkan terlalu banyak cahaya invensi, bintang-bintang dah lama lupa direnung? (Ada bintangkah hari ini?)

Ada suara-suara yang semahunya kurakam dalam kepala ini. Suara-suara aku; tiba-tiba aku merenung ke dalam diri. Berenang dalam sebuah lautan yang kecuh-kecahnya sedang-sedang. Seketika, masinnya masuk ke mulut dan seketika, pedihnya terkena mata kubiar; tapi kedalaman yang sebuah lautan ini beri, selalu kau rindu-rindu. Perbualan dua lelaki yang duduknya di depan kiri dan kananku, macam sudah tidak masuk telinga.

"Berapa dalam dirimu?"

Kata seekor burung hijau, aku tak perlu rancu mencari diri. Ia tidak jauh, katanya. Namun, kata-katanya membuatku masih memusar, menolak air dan cuba membiarkan aku ini masuk lagi ke dalam-dalam rona biru air ini. (Birukah air, sebetulnya?)

"Berapa dalam lagi diri ini?"

Kau tahu, menulis ini umpama mengait pintalan - halus-halus dan sungguh teliti. Satu persatu digerak, jemarimu, ah, semacam bermesra di hujung jarum! Tetapi, menulis dengan suara daripada hati sendiri dan untuk diri sendiri, rajutannya sebegitu sukar. Kadang langsung tidak ketahuan pintalan-pintalan ini sebetulnya berbentuk apa, tetapi kadang, kala jauh sedikit kita bisa melihat, kau tersenyum melihat coraknya.

Itu kata Rumi -semut-semut merungut akan timbul tenggelamnya corak di atas permaidani, untuk apa, tetapi si pembuatnya, hanya tersenyum melihat keseluruhan corak di atasnya itu. Kakinya semut di atas corak-corak itu, sedang matanya, haih, manakan separas si pembuat hamparan itu.

Semut-semut itu, aku juga sebahagiannya.

Sebetulnya, (masih leka melayan suara-suara diri dalam bas yang seketika terhenti di perhentian bas dekat Subang) aku menyimpan sebaris ucapan Shaykh Abdal Hakim Murad di dalam benak yang kucuba-cuba ngiang-ngiangkan. Dicuba-cuba teringat-ingat supaya nampak akan halnya.

"Untuk bersendiri di dalam keramaian."

Kita tidak mengasingkan diri tetapi kita merasa kewujudan ini meski dalam sebuah hingar, kerana 'gua' itu yang menenteramkan itu ada sudah (sedang ada, barangkali) di dalam jasad sendiri. Shaykh yang membuatkanku melawan rasa mahu bersendiri (konon ingin menemui diri). Kelakar, sebegitu banyak ucapan yang lepas daripada bibir-bibir dan baris gigi-gigi manusia, kadangnya cuma satu dua yang diperlukan untuk mengubah atau menggerakkan sebuah diri.

Daripada kata-kata seorang lelaki yang begitu 'alim inilah, kuakanku di air ini seolah memperdalam aku.

Kerancuan itu datang daripada gumpal-gumpal keraguan yang semacam lapisan minyak tumpah di lautan; menutup kebernafasan kau di dalam air sebab semakin kurang ruang udara mengedap ke dalam air.

Lalu, setelah yang bergumpal-gumpal itu semacam makin hilang, kau bila melihat orang, kau nampak diri kau, dan daripadanya, kau nampak tanda-tanda Dia. Dekat sekali.

Rasa?

Soal ini, akal tak perlu rasionalkan. Sebab itu, aku bilang, ia semacam berenang. Kau tidak berbahas dalamnya air dan sejuknya ia menyentuh rona kulit; tetapi kau terjun dan menyelam di dalamnya untuk merasa.

Bas terus bergerak, mahu masuk ke Tol Batu Tiga. Daripada jauh, aku sudah tersenyum, mendengus. Panjang benar barisan di setiap kaunternya! Malam minggu? 

"Kereta yang dua itulah yang menghalang bas tu. Ada kah patut berbaris di tengah-tengah antara dua barisan?" 

Kereta menyusup masuk tiba-tiba di depan bas! Ah, nasib tuan drebar tidak mengehon. "Masuk kiri, tak bagi signal. Kalau kemalangan, yang salahnya yang menyondol! Apalah!"

Komplen-komplen manusia; kau rasa macam deruan angin melanggar lembut permukaan air di lautan luas ini. Angin cuma. Komplen-komplen yang membuatkan kau terasa-rasa manusiawinya kehidupan ini, penuh ketidaksempurnaan; tapi masih kuat meneruskan hidup. 

Aku sudah naik ke muka laut. Menarik nafas panjang. Perhentian bas Batu Tiga depan stesen minyak Petron tinggal beberapa meter sahaja lagi. Naik bas selalu merehatkan - barangkali sebab hanya jadi penumpang.

Kelakar. 

Sebuah kerinduan akan sebuah kedalaman ini, dimulakan pada sebuah tancapan mata bila terlihat makcik memakan bertih jagung! Dan hei, pakcik berkopiah itu memangnya pemandu bas juga semacam tuan drebar bas ini.


Shah Alam.
281014.
Tak cukup pujian untuk Kau atas hal-hal ini, Rabb.

Comments

Popular Posts

KOLEKSI GOODREADS

The Humans Who Went Extinct: Why Neanderthals Died Out and We Survived
Recent Thought in Focus
God and Man in the Qur'an
The Positive Aspects of Tasawwuf: Preliminary Thoughts on an Islamic Philosophy of Science
A New System of Philosophy-Science from the Biological Standpoint
On Justice and the Nature of Man: A Commentary on Surah Al-Nisa' (4):58 and Surah Al-Mu'minun (23):12-14
The Natural and the Supernatural in the Middle Ages
God and Philosophy
From Satori to Silicon Valley: San Francisco and the American Counterculture
Islam and Secularism
Philosophy: The Essential Study Guide
Genesis and Development of a Scientific Fact
Representations of the Intellectual
Can Non-Europeans Think?
The Holocaust Industry: Reflections on the Exploitation of Jewish Suffering
Maus I: A Survivor's Tale: My Father Bleeds History
Slowness
The Architecture of Happiness
The New Rulers of the World
Seeds of Destruction: The Hidden Agenda of Genetic Manipulation


Nurshafira Noh's favorite books »