Rumah

Dua hal yang aku suka dengan masjid biru ini: permaidaninya dan pendingin hawanya. Di satu sudut kiri di depan, dia memakai baju kurung berwarna hijau terang dan tak jauh daripada sudut tersebut, ada duduk seorang yang lain, seperti dia yang di depan itu, memakai baju kelabu dengan tudung berwarna merah pudar. Oh, dia yang di depan itu memakai tudung yang sama warna dengan bajunya. Seorang duduk bersila manakala seorang lagi pula duduk separa bersila dengan kaki kirinya tegak dilipat ke dalam.

Kata Sheikh Fadzil masa di Pondok Addaraini, orang seperti mereka itu istimewa. Aku pun tersenyum dan kembali menghadap dua helai kertas gombal aku yang sudah separuh terconteng. Mereka itu istimewa, sebetulnya, kerana mereka manusia dengan Sindrom Down - matanya yang meleper dengan mulut yang selalu sahaja terbuka (seperti hati mereka yang terbuka persih untuk sesiapa). Siapa pun akan cepat sahaja kenal ciri-ciri sindrom ini dan aku, di satu sisi, berbahagia dengan apa aku lihat.

(Aku sebetulnya, (Oh, ini disclaimer) sudah lima bulan tidak menulis secara rasmi di blog dan terfikir sejak semalam, aku patut mula menulis semula. Aku rasa macam lost sesuatu dengan membiarkan diri aku tidak mencatat)

Dua manusia istimewa tu, sebetulnya, buat aku teringat seorang lelaki yang aku selalu temui di Mydin Seksyen 18. Dia duduk atas kerusi roda elektrik dan di pangkuannya, ada semacam kotak yang berisi aneka barang (ada tisu, pen, bungkus-bungkus gula-gula, dan minyak angin misalnya) untuk dijual, tetapi paling aku perasan ialah kotak tanda di sisi kerusi rodanya:

"Saya bukan mengemis. Saya bekerja untuk cari rezeki."

Pertama kali aku nampak dia di situ, aku menangis sebetulnya dengan Amal. Bukannya sebuah simpati, sepasti aku, tetapi selayaknya adalah sebuah kerendahan hati aku sendiri - apa yang Allah letak atas bahu aku yang tidak Dia letak atas bahu lelaki berkerusi roda itu? Melepasi soalan itu, aku bertanya lagi: apa sebetulnya yang membezakan kita (dia dengan kerja di depan Mydin dan aku berpeluang untuk tidak berhenti setakat itu)? Bukankah akal kita sama (sekurangnya untuk aku dan lelaki itu; bukannya perbandingan antara aku dengan dua orang istimewa yang kutemui di masjid biru)?

Aku selalu menahan diri daripada cepat sahaja merungut dan menyalahkan (meski, aku tak lepas juga menahan kalau sudah tidak betah) - sebab aku fikir, adakah perubahan hanya perlu tunggu diinstitusikan? Pada takah individu, aku selalu terfikir, berupayakah aku untuk mengambil kira senangnya manusia seperti dia itu kalau dia jiranku? Sedangkan sepupu-sepupu aku sendiri pun terlalu jarang aku santuni sesungguhnya; sedangkan, yang terdekat itulah yang terlayak dibantu dahulu, bukan?

Kalau aku minat membaca dikeranakan daripada ia itulah aku dapat mengenal lebih dalam diriku, Tuhan dan alam, maka, atas aku jugalah aku harus mencuba untuk adik-beradik aku kenal diri mereka dan merasakan nikmat itu. Aku selalu rasa pelik (dan kepelikan ini aku kadang kena tonyoh juga atas kepala sendiri sebab tak semua masa aku berkesedaran tinggi) apabila cepat benar manusia berhenti pada takah mengagumi:

"Tengok, tengok! Ferrari lalu kat tepi, hebat!" - tanpa membawa kepada apa-apa selanjutnya.
"Kawan aku tu hebat, dia boleh baca dan faham teori X dan Y!" - tanpa cuba memahami apa maksudnya 'akal' dan apa latar yang membentuk pemikiran mereka untuk mengambil keputusan terus membaca.
Namun, aku yang serba kerdil 'ni, terlalu haruslah melihat pada tanggungjawab sendiri. Aku tak perlu gundah banyak pada manusia yang aku tak kenal (meski mereka itulah pendiri massa majoriti, penentu undi katanya), sebaliknya cuba menjadi manusia dengan siapa yang betul-betul aku perlu kenal dan faham. Kadang, aku rasa manusia cepat lelah dan putus asa apabila mereka menggelintar dan melihat "Oh, ada satu dunia lagi kena diubah. Negara itu berperang; negara yang ini berpecah-belah" padahal ada gajah depan mata yang kena nampak, belum jua nampak-nampak.

Gajah itu mungkin jua ada banyak dan mengakui dia tidak nampak gajah A, meski dia sudah nampak gajah B dan C, pasti sahaja tidak salah; tetapi mengakui ada pihak yang ada upaya untuk gajah A bukankah melengkapkan lagi?

Disebabkan hal-hal manusiawi ini, aku selalu akan berbalik semula pada rumah. Rumahku yang sekarang dan rumahku yang akan datang. Dikeranakan itu jugalah, kadang aku menjadi seperti apa Austen sebut: "The more I know of the world, the more I am convinced that I shall never see a man whom I can really love. I require so much!" (Petikan daripada Sense And Sensibility)

 Apa jenis rumah yang aku ingin cipta? Sesederhana apa dan mencukupkan apa? Aku teringin ada suasana di mana Richard Feynman membesar dengan makmal dan inkuirinya dengan alam; aku berharap aku ada setaman di tepi rumah untuk bertanam-tanam (ada juga pokok pudina, pokok stevia; yang renek-renek barangkali sudah memadai untuk diurus mudah), bukannya biarkan waktu lewah dengan main permainan video berselalu. Apa jenis bilik belajar yang aku inginkan? Adakah kayu-kayan perabot itu jenis tahan lama atau yang murah namun D.I.Y sendiri? Apakah jiwa yang akan ada dalam rumah itu untuk dirindu-rindukan?

Perbincangan seperti apa yang rumah itu bisa tampung untuk menyelesakan tetamunya? Lalu, apakah suasananya bercampur dan tak menyelesakan, atau bagaimana? 

Sejujurnya, aku bertanya: akankah aku punya waktu untuk itu? 

Entah. Barangkali, ada satu sudut kecil di hati terjungkir untuk menanya: Tuhan, moga syurga di atas Bumi ini ada untuk menampung dan menunjukkan Kau jua, semula dan semula.

Kata S. M. Salim, "Entah 'kan jadi, entah 'kan tidak."


Shah Alam. 
Khamis 16 April yang terik petangnya.

Comments

Popular Posts

KOLEKSI GOODREADS

The Humans Who Went Extinct: Why Neanderthals Died Out and We Survived
Recent Thought in Focus
God and Man in the Qur'an
The Positive Aspects of Tasawwuf: Preliminary Thoughts on an Islamic Philosophy of Science
A New System of Philosophy-Science from the Biological Standpoint
On Justice and the Nature of Man: A Commentary on Surah Al-Nisa' (4):58 and Surah Al-Mu'minun (23):12-14
The Natural and the Supernatural in the Middle Ages
God and Philosophy
From Satori to Silicon Valley: San Francisco and the American Counterculture
Islam and Secularism
Philosophy: The Essential Study Guide
Genesis and Development of a Scientific Fact
Representations of the Intellectual
Can Non-Europeans Think?
The Holocaust Industry: Reflections on the Exploitation of Jewish Suffering
Maus I: A Survivor's Tale: My Father Bleeds History
Slowness
The Architecture of Happiness
The New Rulers of the World
Seeds of Destruction: The Hidden Agenda of Genetic Manipulation


Nurshafira Noh's favorite books »