Menunggu

U80

Aku tak pasti sejak bila lagi akan jadual bas di Malaysia patuh dengan angka-angka yang tertera di skrin. Mula-mula, terpapar di skrin bahawa bas dari Seksyen 2 ke Kuala Lumpur akan bertolak jam 8.15, kemudian, seenaknya, 8.15 bertukar kepada 8.20 yang kemudiannya lagi, berubah kepada 8.30. Adakah masa manusia sebegitu rendah dengan nilai nihil angka di skrin? (Pastilah tidak!) Bas maseh tersadai di depan mata kami, terpisah dengan sebatang palang besi kelabu yang kalau dipegang akan berminyak hujung-hujung jari; aku juga masih sakit belakang menegakkan badan di kerusi batu ini. Ada bas yang lalu-lalang di sebelah kiri bas-bas yang tersangguk di depan, tapi angka mereka bukan angka bas yang kucari.

Apa, sebetulnya, yang manusia dapat dengan membaca naratif seperti kusebut di atas? Kadang aku terfikir, apakah terselit manfaat dan jika tidak bermanfaat, perlukah cuma ada wacana dalam naratif supaya ia tampak bermanfaat? Soal manfaat ini pun tergantung pada bagaimana orang memahaminya, aku fikir. (Aku semakin pening, duduk menunggu di sini. Sejak dua menjak, bahagian atas keningku asyik rasa tegang dan keadaan ini memang tak menyelesakan). Sambil cuba menolak-nolak perlahan urat-urat kepala, aku terus memerhati lagi.

Manfaat apa dengan duduk menunggu? Kadang, bau peluh manusia ada yang begitu sama (seolah mereka datang daripada rumah yang sama) dan kadang-kala, peluh keringat itu begitu pekat sehingga jarak tak membantu aku untuk tidak membaunya. Kadangnya, resit bas penuh kuconteng dengan gombal fikiran atau catatan akal - tapi tak semua waktu terabadi untuk itu. Manusia penat, kau tahu. Apa manfaat kaubahas tentang manfaat dengan manusia-manusia penat ini?  Ada yang mengatakan bahawa dengan tahu matlamat akhir kita (kita, manusia), semuanya akan jadi bermanfaat atau cuba dimanfaatkan. Namun, apa pula manfaat duduk menunggu begini?

Secara biasanya, ada dua cara sahaja untuk memenuhi masa menunggu: (baca: secara biasanya) pertama, kau akan ajak berbual orang berdekatan atau temanmu; kedua, kau akan menonong kekosongan sama ada main telefon, tatal Instagram atau apa sahaja yang sekadar untuk menghabiskan masa, sebab tiada teman. Secara tak biasanya, manusia boleh memanfaatkan akal dan nubarinya: dengan membaca atau memerhati. Aku tak mahu sentuh pasal membaca tapi aku mahu bercakap pasal memerhati ini. Kau tahu bukan, Darwin membina teorinya dengan pemerhatian, khususnya sewaktu atas kapal HMS Beagle?

Aku toleh lagi ke skrin di atas kepala - masa sudah 8.25 malam. Seorang pakcik berbaju oren berbutang biru mula berjalan ke arah bas, aku perhati. Jalannya agak terkengkang mungkin sebab pahanya yang besar - seluarnya memang hippie dengan diameter yang lebar ke bawah pusat dan terus lurus melebar ke bawah sampai di atas buku lalinya. Mukanya sudah bulat macam Shin Chan. Aku pun cepat-cepat sarung semula beg galas yang separa berat. 

Perhentian depan Petron

Aku tak faham manusia yang rasa tidak berdosa dengan sengaja melepaskan kertas resit ke lantai bas. Aku lagi tak faham kenapa orang lelaki yang nampak sihat kebanyakannya tak bangun meski nampak perempuan memboyot perutnya atau wanita yang sudah timbul-timbul urat di muka kulit. 

Tertanyalah aku selalu kepada diri, "Apakah manusia terlalu penat bekerja dan kerana itu, yang sebegitu penting adalah uang?" (Dan kerana itukah, usai habis bekerja penat-penat dan belajar untuk peperiksaan kuat-kuat, sukalah untuk pergi berjimba-jimba raya macam gila? Zizek bahkan ada tulis pasal Psy: kegilaan manusia berjoget mengikut Gangnam Style itu, satu tanda kemusnahan tamadun)

Pernah seorang temanku yang pernah melawat Calcutta (dan lalu, kugelar dia itu 'Calcutta', tanpa pengetahuannya pastinya), ujarkan kepada aku bahawa: "Kena lihatlah sama ada wacana tentang betul salah ini masih relevan."

Ayatnya tertimbal balik sahaja selalu dalam fikiranku. Padaku, kebenaran sentiasa relevan, tinggal apa kau ukur sebagai benar? Sewaktu itu, diujarkan itu dalam waktu kami berborak tentang pembenaran legal terhadap perkahwinan sejenis melalui demokrasi. Sebetulnya, aku selalu yakin kebenaran sentiasa relevan. Manusia berperang kerana merasakan kebenaran di pihak mereka. Kalau ia mengira bahawa yang benar dalam hidup ini adalah manusia itu tak lebih daripada sebuah produk evolusi dan sungguh-sungguhlah terkait dengan gerak daya seksualnya seperti haiwan lain, manusia dan Tuhan relatifnya pada ia tidak penting. 

Memandang ke luar tingkap bas (yang jelas tidak berdebu sangat ini), aku teringat Kundera menyebut tentang kelajuan. Apabila mahu mengingat, manusia akan memperlahan dan cenderunglah manusia terlupa, apabila melaju. Kundera ada sebut pasal teknologi juga dalam hal ni, tapi ini bukan masanya kubicarakannya, bukan?

Laju, laju, buaiku laju. Manusia sungguh melaju, semakin pula memenat dan semakin terlupa dan mamai.

Laju, laju, buaiku laju. Betulkah tidak penting lagi menjadi betul, hari ini?

Kadang aku terfikir beberapa hal:

- kebenaran itu boleh di-tone down akhirnya kepada satu perkara yang menyeluruhi
- kebenaran itu langsung juga kompleks berkait antara satu hal dan hal-hal lain

Manusia harus sabar kalau betul mahu mendapatkan jawapan. Ah, aku perlahan turun daripada bas dan mula bergerak melintasi jejantas di kananku. Bas pun meluncur pergi, memasuki lohong kegelapan yang berlampu di jalan-jalan di depanku. Sabar, sabar memang susah. Susah ada banyak jenis, sebegitu jawapan ada banyak jenis. Ada jawapan yang boleh sahaja cepat disuakan; ada jua jawapan yang perlu ditelaah dulu baru diberikan; kadang manusia swag lebih, jawapan yang pelbagai pun dikira ada sejenis sahaja dan yang dikira sejenis itulah, asyik tersilap difikir boleh selalu diberi-beri.

Ah, penatlah. Awan jarang sekali ada di dada langit sini, dikaburi asap-asap dan sinar cahaya lampu nan banyak di Shah Alam ini. Senyap-senyap, aku bertenang-tenang semula dengan diri setelah penat menunggu tadi.



Shah Alam.
Disambung tulis Syawal 9.

Comments

Popular Posts

KOLEKSI GOODREADS

The Humans Who Went Extinct: Why Neanderthals Died Out and We Survived
Recent Thought in Focus
God and Man in the Qur'an
The Positive Aspects of Tasawwuf: Preliminary Thoughts on an Islamic Philosophy of Science
A New System of Philosophy-Science from the Biological Standpoint
On Justice and the Nature of Man: A Commentary on Surah Al-Nisa' (4):58 and Surah Al-Mu'minun (23):12-14
The Natural and the Supernatural in the Middle Ages
God and Philosophy
From Satori to Silicon Valley: San Francisco and the American Counterculture
Islam and Secularism
Philosophy: The Essential Study Guide
Genesis and Development of a Scientific Fact
Representations of the Intellectual
Can Non-Europeans Think?
The Holocaust Industry: Reflections on the Exploitation of Jewish Suffering
Maus I: A Survivor's Tale: My Father Bleeds History
Slowness
The Architecture of Happiness
The New Rulers of the World
Seeds of Destruction: The Hidden Agenda of Genetic Manipulation


Nurshafira Noh's favorite books »