Objektif

"Untuk wanita yang telahku kirimkan khabarnya..." 
Kelakar sekali apabila ayat yang sudah pun berusia dua tahun itu sebenarnya semacam tak pernah menghilang. Mungkin huruf-hurufnya boleh hilang tetapi mungkin belum direzekikan untuk seluruh roh ayat itu lesap daripada benak. 

Membaca sejarah sains moden di Tanah Melayu dan seantero nusantara, kadang aku sendiri bersetuju kalau yang objektif itu banyak masanya memudahkan - kalau terlalu berperasaan dan ambil kisah hal ehwal hati perut orang lain, orang yang cawan perasaannya cepat penuh akan selalu kena belajar lebih kuat untuk menampung beban tuangannya.

Aku selalu berharap, takah-takah keobjektifan aku dapat bertahan lebih lama daripada aku jangka. Namun, kadangnya, begitu banyak sekali hal-hal yang kau bukan senang-senang mahu pegang, gumal dan buang ke laut. Ia melekat macam getah di hati, sangat liat ditarik pergi dan ada kesan-kesan yang tinggal; sungguh, ia bukan apa orang selalu panggil 'luka', pada aku, luka akan perlahan hilang menjadi kulit, meski kalau belum betul elok, luka boleh sahaja terbuka balik; tetapi, ini bukan kerana tidak sembuh-sembuh; ini kerana ada tinggalan yang aku tak dapat tahu di mana duduknya ia.

Saat ia datang menghempas dan menarik-narik, barulah aku akan sedar, dua tahun itu betul-betul macam semalam, tetapi kerja-kerja dan buku-buku sentiasa sahaja berusaha menolakku untuk tak cuba mencabut keliatan hal-hal itu untuk tanggal. Aku, barangkali, sejak setengah tahun lalu, memang memutuskan kalau ya aku harus hidup dengannya, inshaAllah akan sahaja aku hidup baik-baik dengan ia, meski ia itu tak pernah betul hilang.

Aku malas nak fikir. Seusai IDEARAYA, aku betul-betul berharap aku dapat merebahkan diri jatuh tergolek-golek setinggi tangga-tangga di Batu Caves nan beratus tu. Apa dosanya kalau aku benar melemah untuk seketika? (Tergelak)

Gai Eaton, seperti sebelum ini, selalu sahaja datang memberi cawan perasaanku penuh meski dengan setitis. Aku belek Reflections hari tu dan Tuhan, rasa kebah sedikit segala kepenatan:

".. the way Muslims understand God's all-seeing presence. They find it reassuring, comforting. They are glad not to be alone in an alien universe. They want to be understood, and they know that they are understood. The sense of loneliness which haunts many people, just below the threshold of everyday life, cries out for love, friendship, companionship and is not easily satisfied; cries out, in truth, for the divine Presence." (Eaton, muka 36)
Selalunya, aku kalau baca tulisan Eaton yang di Kings of Castle akan ambil masa terlalu lama. Sengaja aku hirup sesisip untuk sehari dan esok masih mengemam-ngemam rasa manis yang terasa semalam. Eaton, pada aku, bukan sahaja berfalsafah bila menulis, tetapi ia merehatkan hati. Lalu, sewaktu hal keobjektifan ini masuk dalam akal fikiran, kadang aku fikir, apa yang berlaku sampaikan ada gerakan sains moden pada abad ketujuh belas, misalnya? Takkah manusia merasa janggal kalau ia satu gerakan baru? Lalu, apa yang tak menjanggalkan mereka untuk perlahan semakin ramai menyetujuinya? (Faktor ekonomi, misalnya, perindustrian besar boleh juga main peranan, misalnya. Pada awalnya, minat dan rasa ingin tahu mungkin penolak kuat untuk mengkaji secara empirikal, tetapi kemudiannya, penaja-naja sudah ada dan universiti sudah mula beri gaji macam ditulis Ben-David (1972), perkembangan sains makin jadi pesat untuk tak terlalu kekal jua dengan kesubjektifan sewaktu kurang ber-sains moden).

Ia soalan yang menarik - bahkan, Imran pernah ujarkan bahawa perbahasan perubahan ini masuk dalam minatnya. Aku, justeru, mahu mendengar lagi ujarannya nanti. Selalunya, aku takkan banyak berbalas-balas; banyak masa, aku biarkan ia masuk dahulu dalam fikiran. Aku suka berbincang apabila sudah selesa rasa nak berbincang, pada badan dan mental. Kadang-kadang, aku akan tersenyum sahaja sambil catat nota - mana tahu berguna nanti. Dalam banyak masa, aku perasan kadang di sela waktu-waktu hidupku, Tuhan selalu sahaja bijak untuk menarik perasaanku daripada tertumpah; kadang lewat sehari atau beberapa jam selepas itu, baru aku terasa kesannya dek dirafak tumpahan itu. Kadang ia jadi terlalu terlewat dan tak memberi makna, tetapi aku selalu rasa ia menyelamatkan aku.

Tak semua masa aku dapat nampak kuat dan objektif, bukan?

Latar pembacaanku hari ini membawa aku pada persoalan rasionaliti juga. "Apakah yang lebih rasional itu akan selalu lebih baik?" Aku masih ingat tulisanku ini dalam Perpustakaannya Dia. Aku pasti, makna 'rasional' itu sendiri tak cukup seperti apa difahami dengan 'akal' dalam Islam, tetapi apabila aku lihat progres sains normal ini bawa ciptaan baru (baca: tak menggunakan perkataan 'kemajuan'), kadang kau tanya semula apa yang kita kehilangan dengan kecenderungan ini? Kita harus akui, barangkali, zaman ini sekurangnya, bukan senang nak ulangi zaman Emas Eropah dulu atau zaman Abasiyah yang sains dan bukan-sainsnya jalan seiring di kiri dan kanan. Lalu, tak sempurna kita itu di manakah? Bagaimana sains moden harus dijadikan?

Esok sudah bermula bengkel untuk pengkaji muda Selangor. Aku berharap malam ini semakin merehat yang liat-liat tak tertanggal itu.


Sampai nanti lagi.
Dua hari selepas hari ulang tahun diri dilahirkan.
Pukul 1.12 pagi, waktu Malaysia.

Comments

Popular Posts

KOLEKSI GOODREADS

The Humans Who Went Extinct: Why Neanderthals Died Out and We Survived
Recent Thought in Focus
God and Man in the Qur'an
The Positive Aspects of Tasawwuf: Preliminary Thoughts on an Islamic Philosophy of Science
A New System of Philosophy-Science from the Biological Standpoint
On Justice and the Nature of Man: A Commentary on Surah Al-Nisa' (4):58 and Surah Al-Mu'minun (23):12-14
The Natural and the Supernatural in the Middle Ages
God and Philosophy
From Satori to Silicon Valley: San Francisco and the American Counterculture
Islam and Secularism
Philosophy: The Essential Study Guide
Genesis and Development of a Scientific Fact
Representations of the Intellectual
Can Non-Europeans Think?
The Holocaust Industry: Reflections on the Exploitation of Jewish Suffering
Maus I: A Survivor's Tale: My Father Bleeds History
Slowness
The Architecture of Happiness
The New Rulers of the World
Seeds of Destruction: The Hidden Agenda of Genetic Manipulation


Nurshafira Noh's favorite books »