Untuk Karlsruhe II



Ke hadapan cik Karlsruhe, 

Poskad daripada Franfurt, seperti dimaklumkan, memang sudah sampai seminggu lepas lagi. Membalas permintaan cik Karlsruhe (amboi, ayatku seperti lelaki nak memikat gadis!), inilah sedikit sambungan tulisan 'Untuk Karlsruhe'; barangkali memang dah lama kita pun tak berkesempatan berbincang-bincang (dan bergosip) macam dahulu.

Perkara pertama aku memang teringin nak bercakap dengan kau ialah tentang Islam. Sebetulnya, aku fikir payah juga kalau dalam masa kita mahu memahami sesuatu, kita sering juga terpaksa menahan kepala kita daripada terlalu tidak bertenang. Contohnya, aku fikir, apabila kita mahu memahami satu permasalahan dan idea, kita akan selalu terbawa-bawa untuk segera tanya juga "Hah, jadi nak kena buat apa sekarang?" atau juga "Solusinya apa?" Aku memang tak jarang ada banyak tolakan sebegini dalam kepala, meski aku teruskan sahaja usahaku mahu memahami permasalahan itu dahulu. Namun, dalam hal Islam ini, aku fikir ada satu hal aku kena establish paling awal dalam kepala. 

Namun, sebelum aku sampai kepada premis tersebut yang aku nak establish, aku sampaikan juga satu premis yang berkait dengan premis itu yang sekarang orang lihat semacam terpisah: iaitu perbahasan pasal Tuhan. Seumur 24 tahun (aku guna kalendar Hijrah untuk cepat jadi matang!) ini, aku telah disediakan Allah juga untuk perlahan masuk ke masyarakat dengan sisi-sisi yang memang aku jarang tahu secara peribadi. Pergiku ke Cirebon bersama Sister In Islam dengan komrad nan pelbagai alir fikir, pergiku bertemu rakan-rakan pelbagai masalah hidup yang lalu dimanifestasi kepada beberapa cara (ie jadi ateis, agnostik dan lain-lain) dan pemerhatianku sendiri selama ini: tak jarang bukan kerana benci Islam per se. Aku tak mahu bahas orang yang memang benci Islam (tetapi selalunya atas salah faham nan banyak juga), namun, melihat warga nan bermacam ini, aku sendiri tak tipu memang terasa juga masalah tentang apa terjadi.

Dabashi barangkali menimbulkan permasalahan ini menjadi lebih terang kepadaku apabila dibilangnya dalam Can Non-Europeans Think? bahawa kita hidup dalam sebuah zaman keterdesakan (age of desperation) dan semua agama sekarang saling menghunus pisau ke leher masing-masing. Namun, bilangnya, ini bukan barangkali waktu menyuguh untuk sebuah kebenaran, tetapi sebuah pertandingan - siapa lagi cepat selesaikan, siapa pula lagi pantas musnahkan dahulu. Jadi, Dabashi bilang jika Islam ini umpama sebakul telur, sekali bakul ini telah terhempas, meski ada lagi telur-telur lain masih elok, yang terpecah dan mengahnyir itu memang terlalu merosakkan Islam itu sendiri. Lalu, kerana itu, manusia 'ditinggal' atas dirinya sendiri dan paling relevan, kalau ikut kaca mata ini lalu, adalah untuk menggerakkan masyarakat melalui civil movement. Lantaran kerosakan Islam ini juga, pelbagai reaksi dan respon untuk 'menyelamat' Islam yang jujurnya aku tidak salahkan seratus-peratus jika tersilap, sebab ada jua betulnya.

Namun, apa yang betul? Aku kira, ini soalan paling susah. Cuma, aku bukan mahu terus melompat kepada hal itu, cik Karlsruhe. Aku mahu kembali kepada premis yang aku mahu establish tadi: Islam dan Tuhan. Untuk establish Islam ini dalam pemahaman sendiri, tak nafi memang perlu sedar beberapa tainted colours yang sedia ada dalam kepala kita sewaktu mahu melihatnya. 

1) Paling pertama, untuk memahami Islam sebagai Muslim, bukan untuk dimenangkan. Ini sebetulnya agak sukar untuk aku kerana kita memang nampak Islam kalah dan kita terpanggil untuk 'membantu' itu. Namun, tainted colour yang ini perlu dijernih jua. Jika kita mahu memamahi sesuatu sebab mahu berdebat-debat, ini sendiri tidak baik. Dan bermula untuk memahaminya sebab kita Muslim, tidak pun mengurangkan sisi kebolehmenangan kita kalau memang mahu berlawan-lawan ini. Namun, ya, pertamanya, bicarakan Islam (meski berbalah) untuk memahaminya.

2) Islam tidak pula terpisah daripada perbahasan Tuhan. Perkara ini perlu ditimbulkan kerana memang aku nampak bahawa tidak sedikit yang bilang mahukan ketenangan jiwa, namun, berlepas diri daripada Shariah. Ada seorang teman memang berujar bahawa Shariah yang dia nampak sekarang nampak ada tidak adil dan tidak relevan (misalnya, soal pembawakan isu tudung dan hudud ke tengah masyarakat), lalu, dia seolah nampak Islam salah. Hari ini, kukata kepadaku (kerana aku sendiri mahu menjawab ujaran itu) dan dia bahawa mari lihat lebih ke belakang. Kalau ya Shariah tidak relevan, apa kerelevanan Shariah diujar oleh Tuhan dan keduanya, apa itu Shariah juga? 

Aku fikir, memang benar pengalaman akan banyak membentuk fikiran kita ("Kau tak rasa sebab itu agak difahami kalau tak faham kenapa aku jadi begini" - untuk menyatakan bahawa pengalamannya memberi kesan besar), namun, aku fikir, agak baik juga pengalaman itu diperhalus lagi untuk Islam itu difikirkan dan difahami. Kalau ya kita percaya ada Tuhan dan kita cenderung percaya ada Tuhan Nan Satu, lalu takkan sia-sia Tuhan menyatakan sendiri bahawa Islam itu cara hidup satu-satunya? Di sini, aku fikir agak baik untuk aku menyatakan awal bahawa aku tidak mengukur kemahuan kita itu jika ada antara kita belum mahu solat dulu, pakai tudung terus dan sebagainya - namun, aku fikir, kalau ya kita mahu memahami 'Islam sebagai kebenaran', mari, aku mengajak memurni ia dalam akal ini.

3) Islam itu daripada Tuhan dan ia bukan semata pada zaman Muhammad. Ini, aku fikir, adalah satu premis yang aku sendiri perlu establish dalam kepala, awal-awal. Aku sedang membaca beberapa buku untuk memahami sekularisasi Kristianiti dan bagaimana falsafah Greek terlibat dalam perbahasan ini, apabila aku selalu merasa dalam kepalaku bahawa Islam cuma datang selepas waktu itu, misalnya. Namun, Islam beranjur jauh ke belakang. Ia datang daripada Tuhan daripada Adam lagi dan apabila aku bermula daripada situ (setelah jua perlu establish mengapa wahyu itu satu sumber yang diterima dan mengapa pula Tuhan menurunkan wahyu), aku tidak tergugah untuk membaca hal-hal sejarah ini. 

4) Memahami dan mahu memahami Islam tidak langsung menjauhkan kita daripada hidup harmoni dengan orang lain yang berbeza. Untuk terus meloncat kepada perbahasan politikal Islam dengan tidak dulu establish ujaran tentang hal-hal tiang Islam ini juga boleh juga menjadikan kita rosak. Tapi, kau pun tahu, sekarang, yang mengatakan mereka tahu hal-hal tiang juga naif sekali perbahasan kontemporari juga membawa rosak. 

Namun, namun, namun, kerosakan di dua belah pihak (atau berapa pun banyak pihak) tidak patut buat kita terus skeptik untuk memahami lagi. Memang harus kita berhati besar mahu melihat ini semua dan apalagi mahu menyantuni bukan sahaja fikiran orang, tetapi jua fikiran sendiri.

Putri cik Karlsruhe,

Apa paling besar mahuku ucap di hari lahirmu kalau bukan teguhlah menjadi Muslim? 

Semoga hidupmu tenang dan semoga Allah selalu menunjuki kita semua. Lao Tzu mengajariku sesuatu seminggu lalu (yang aku telah pun ketahui setahun lepas lagi): Wu Wei (Action in Inaction). To do nothing is to do everything. Usah gusar jika dilihat tidak berbuat kalau dalam banyak waktu, kita sendiri tahu besar apa yang kita sedang berbuat. 

Salam pelukan daripada tanah Shah Alam.

"Truth is of dazzling simplicity" (Gai Eaton, Kings of Castle)



Shah Alam. 
03112015.
Yang paling perlu 'soul-searching' bukan Islam,
tetapi Muslim yang hilang soul ini.

Comments

  1. Nice.. Penulisan yang baik.. Walaupun pembacaanku agak lewat kali ini..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts

KOLEKSI GOODREADS

The Humans Who Went Extinct: Why Neanderthals Died Out and We Survived
Recent Thought in Focus
God and Man in the Qur'an
The Positive Aspects of Tasawwuf: Preliminary Thoughts on an Islamic Philosophy of Science
A New System of Philosophy-Science from the Biological Standpoint
On Justice and the Nature of Man: A Commentary on Surah Al-Nisa' (4):58 and Surah Al-Mu'minun (23):12-14
The Natural and the Supernatural in the Middle Ages
God and Philosophy
From Satori to Silicon Valley: San Francisco and the American Counterculture
Islam and Secularism
Philosophy: The Essential Study Guide
Genesis and Development of a Scientific Fact
Representations of the Intellectual
Can Non-Europeans Think?
The Holocaust Industry: Reflections on the Exploitation of Jewish Suffering
Maus I: A Survivor's Tale: My Father Bleeds History
Slowness
The Architecture of Happiness
The New Rulers of the World
Seeds of Destruction: The Hidden Agenda of Genetic Manipulation


Nurshafira Noh's favorite books »