Jeda 3

Kita selalu
meninggalkan diri kita
dan sebahagian diri kita itu
disapu, dikumpul hujung penyodok,
lalu dibuang.

Rumah kita penuh dengan
kulit mati kita
potongan kuku kita
helai rambut kita
yang pernah jadi
sebahagian 'kita'

Penuh rumah ini
dengan kematian
tetapi sangat sedikit
yang nampak penuhnya
kematian yang telah tiba
dan disapu, dikumpul
serta telah dibuang itu.

Penuh Rumah Ini (2015)
Shah Alam.

States of Mind II: Those Who Go, Umberto Boccioni (1911) Lukisan minyak atas kanvas.

Aku selalu bilang kepada diri bahawa orang itu adalah seseorang yang istimewa apabila mengenangkannya boleh membuatkan aku melahirkan baris-baris semacam puisi. Hari-hari kebelakangan ini apabila yang semacam puisi ini laju mengalir sahaja, aku pun rasa lega; lega kerana yang istimewa itu telah kembali kepada diri aku; lega kerana Allah telah merafak dan ambil apa yang tidak penting untuk jadi hantu-hantu dalam seharianku; lega kerana meski aku tidak pasti apa status mental aku sebetulnya, aku sudah tidak over-analyze, meski untuk tidak menipu, kekadang tiba-tiba hantu-hantu itu hadir dalam bas sewaktu aku betul penat seharian bekerja (aku bekerja guna otak sahaja, tetapi memang penat) dan aku jadi haru, lalu menangis. 

Minggu nan dua ini penuh dengan perbahasan falsafah-sejarah-sosiologi sains (meski, aku selalu tidak merasa ia khusus tentang komuniti sains tetapi umum sahaja untuk semua orang ambil tahu kerana ia tentang alam dan manusia itu jua). Fleck sudah kuhabisi baca buku pertamanya iaitu Genesis and Development of Scientific Fact yang ku cadang seiringkan baca dengan bahan epistemologi sosial (meski aku cenderung untuk mengarahkan pembacaan tentang soalan realiti dan kebenaran). Fleck secara besarnya membawa aku kepada soalan bagaimana aspek sosial memberi 'bahan' kepada sains secara epistemologi? Aku nak tengok transisi ini lagi dan kerana itu, aku harus teruskan pembacaan tentang Fleck. 

Selain Fleck, aku iring bacaan dengan dua buku lain iaitu What is Life? oleh Schrodinger dan juga Glimpsing Reality oleh Buckley. Aku masih membaca kedua-duanya tetapi sejurus semalam keluarnya artikel A Fight for the Soul of Science di Quanta Magazine (pergi cari kalau berminat), aku semakin kuat dengan premis yang aku mahu perhatikan tentang soal realiti dan kewujudan ini dengan sains. Pernah aku berbahas dengan Rahman dan Hasbi serba ringkas tentang ini bahawa padaku, soal inilah yang sebenarnya perlu usai dalam sains - aku sendiri selepas baca artikel di Quanta Magazine itu, perasan keadaan ini: progres tidak sebetulnya berasas daripada keraguan, tetapi apa asas sebelum ada keraguan (yang sebenarnya selalu disalah panggil untuk 'pertanyaan', curiosity dan wonder)? 

Aku makin yakin tentang minal ma'lum ilal majhul: kita bergerak daripada yang diketahui kepada yang tidak diketahui. Ini adalah apa Dr Zaidi Ismail ajarkan awal WISE beberapa tahun lalu ('beberapa' kerana aku tidak pasti tahun bila!). Bahkan, hari ini perbahasan saintis dan failasuf itu sendiri makin tertekan kerana kita ada tekanan ongkos, tuan-tuan. Siapa danai kajian-kajian fizik itu? Tanya tentang ongkos, boleh bungkus kadang-kadang untuk bawa perbahasan yang bermakna (dan memang artikel itu timbulkan persoalan utiliti itu juga: topik mana yang paling berguna?) 

Aku kadang takut (dan memang rasa betul ketakutan ini sewaktu membaca) apabila aku perasan, apa aku fikir ini barangkali tidak berapa berguna. Aku ujarkan kegusaran ini kepada Adzwin tempoh hari memang. Namun, membelek Masatoshi Nei, ketakutan itu sedikit terkambuh, masuk dalam parit dalam di luar diri: Nei sendiri dipanggil sebagai suka berimaginasi, tetapi apa dia bilang? "Ya, saya memang begini!" Kelakar sekali tetapi ketidakkisahannya itu jua yang menolaknya ke depan lagi sebagai mengusulkan penolakan premis besar Darwin: dia bilang bukan natural selection yang membawa evolusi tetapi mutasi lewat bukunya 2013 itu. Kelakar untuk aku fikirkan kerana betapa sains tidak begitu sehala begini dan aku suka sisi-sisinya yang gila dan warna-warni ini. Membaca Glimpsing Reality, aku pun nampak bahawa fizikawan macam Bohr, Heisenberg, Pauli dan yang nama besar-besar itu pun macam ini - meriah dalam dataran fikiran mereka dan sesama mereka.

Baca dua bahan ini, aku rasa macam masukkan baju banyak-banyak dalam beg perjalanan: sumbat lagi dan sumbat lagi, tetapi apa yang kebanyakan orang bimbit dan terus bimbit, cumalah beg itu dan kurang sekali tahu apa dalam beg itu secara sedar. Tetapi, yalah, tidak semua orang pun mampu kemas balik dan betul tahu apa guna baju-baju itu semua bila dibuka beg itu, gamaknya. 

Secara jujurnya, aku pun takut (berapa banyak sudah aku guna perkataan 'takut' ini?) dengan membawa beg-beg dan mengenal pasti semua baju-baju ini - aku takut jadi perempuan begini: perempuan yang tahu itu, tahu ini (meski aku bukannya tahu banyak pun). Aku risau juga jenis emak yang bagaimana untuk anaka-anak bagi perempuan seperti aku; isteri seperti apa juga? Tetapi lewat waktu-waktu bertenang sejak semalam, aku semacam tidak kisah. Aku perlu awalnya jadi manusia yang lebih baik hari ke hari dan itu dahulu. Yang lain, aku akan belajar dan ambil nasihat orang. Aku tahu aku jenis perempuan begini meski aku sangat pasti, tidakkah semua manusia ada porsi-porsi dirinya pada detik-detik dan tempat berbeza? 

Apapun, yang menolak aku sekarang adalah suatu perkataan daripada Prof Naquib tempoh hari di Sasana Kijang:
"meticulously"
Orang lain mengkaji begitu teliti dan ketelitian inilah yang menjadi penolak aku sekarang selain perlu lagi baguskan kemahiran strategik. 


Shah Alam.
18 Disember 2015.

Comments

Popular Posts

KOLEKSI GOODREADS

The Humans Who Went Extinct: Why Neanderthals Died Out and We Survived
Recent Thought in Focus
God and Man in the Qur'an
The Positive Aspects of Tasawwuf: Preliminary Thoughts on an Islamic Philosophy of Science
A New System of Philosophy-Science from the Biological Standpoint
On Justice and the Nature of Man: A Commentary on Surah Al-Nisa' (4):58 and Surah Al-Mu'minun (23):12-14
The Natural and the Supernatural in the Middle Ages
God and Philosophy
From Satori to Silicon Valley: San Francisco and the American Counterculture
Islam and Secularism
Philosophy: The Essential Study Guide
Genesis and Development of a Scientific Fact
Representations of the Intellectual
Can Non-Europeans Think?
The Holocaust Industry: Reflections on the Exploitation of Jewish Suffering
Maus I: A Survivor's Tale: My Father Bleeds History
Slowness
The Architecture of Happiness
The New Rulers of the World
Seeds of Destruction: The Hidden Agenda of Genetic Manipulation


Nurshafira Noh's favorite books »