Jeda IV

Hal-hal kecil kembali berbunyi dan menari rentak yang aku tidak lagi belajar perbendaharaannya. 

video

Aku ingin merakam perasaan meski dalam kompleksiti idea dan hasil-hasil pemikiran ini. Aku ingin menjadi perakam jeda dan sudah berhari-hari, meski aku kambuh keinginan ini (dan boleh sahaja tahun hadapanku mulakannya) tetapi aku rasa tidak tenang. 

Lebih daripada menuliskannya, aku suka gambar dan gambar bergerak. Sebuah 'Waterlilies' lukisan Monet itu telah menjadi bahasa-bahasa pujukan meski tanpa abjad. Kata fizikawan nuklear itu, "Mahu mengadu dengan lukisan" dan aku membiarkannya sahaja.

Aku tidak mahu tahu apa aku berbuat; tak, tak, bukan kerana aku mahu jadi bodoh membuta tuli tetapi aku rasa, aku terlalu memikirkan, ya, untuk hal ini. Aku sendiri kekadang sengaja pulang ke rumah dengan bas tanpa memikir apa, meski sebenarnya Ludwik Fleck masih menuntutku memahaminya lebih lagi atau meski buku-buku itu sedia sahaja kubelek bebila. 

Tetapi, aku selalu merasa aku tidak tulen berfikir (meski takahku ini memang masih amatur, bukan?) tetapi aku merasa ketidaktulenan itu, seolah air liurku keluar daripada buku-buku kering itu, bukan daripada akal fikirku selepas aku memahami, dan Tuhan mengintuisikannya ke dalam qalb. Kerja kita, kata ulama Muslim, adalah mengetuk pintu, dalam menuntut ilmu - kefahaman itu nikmat Tuhan ganjari dan Dia beri. Aku juga merasa takut membiarkan air liurku membenarkan terlalu laju buah fikiranku - ah, sudah namanya 'buah'! Harus ditunggu ranum dahulu dan aku ini entah tukang petik sahaja atau yang telah faham dengan segala jenis tanah, air, baja dan sebagainya.

Selalulah aku yakinkan diri bahawa aku masih muda; aku perlu susun satu-satu daripada semua hal besar yang aku mahu capai itu tercicir... tetapi entah, ada waktu, aku cuma tersadai di katil dan membiarkan Alice itu kembali ke dalam gelas cermin dan dihambat waktu. 

Pernah suatu waktu dulu, aku merakam gambar dua jariku cuba ku kedepankan dan kebelakangkan (adakah imbuhan sebegini?) di depan bingkai-bingkai tingkap apartmen ku; apabila ku sua rakaman video itu, seorang rakan kelasku memberi komen bahawa video seperti itu tiada makna. Sejak itu, aku berhenti merakam hal-hal abstrak; begitu jua apabila aku menakung soalan-soalan tentang falsafah biologi dan evolusi, misalnya, aku bukan tidak sekali memakan komentar betapa tidak pentingnya hal itu dikaji; aku cuba memahami sudut pandang mereka dan sebagainya, waktu juga berlalu, aku mula berminat membelek sejarah dan kajian polisi, tetapi, ternyata persoalan-persoalan itu bukan seperti labu-labu Luncai yang sudah tenggelam di dasar sungai; timbullah lagi mereka kembali dan kini, semakin kulihat kerelevanannya.

Namun, aku tertanya kepada diriku: adakah kerana minat, aku mahu lakukannya? Atau kerana ia soalan yang tidak selesai sekarang dan ia nampak relevan? Jika dua andaian ini ditarik Tuhan, adakah ia melumpuhkan gerakku untuk meneruskannya? Lalu apa basis sebetulnya untuk aku lakukannya?

Ternyata, aku masih terlalu memikirkannya. 

"Tetapi jangan kau bilang untuk aku berhenti jadi begini; minta aku buat sahaja tetapi soalan-soalan yang asyik mengasakku menjawab itu, biarkan."

"Tetapi kau ini memang terlalu memikirkan. Kompleks sangat."

"Sebab itu aku ialah aku."

Apabila kita berani dan kerana keberanian kita itu telah pun ditimpa kita ini silap-silap bodoh, jangan disuruh berundur; belajar berani dengan lebih baik lagi.



Shah Alam.
Olafur Arnalds - Tomorrow's Song.

Comments

Popular Posts

KOLEKSI GOODREADS

The Humans Who Went Extinct: Why Neanderthals Died Out and We Survived
Recent Thought in Focus
God and Man in the Qur'an
The Positive Aspects of Tasawwuf: Preliminary Thoughts on an Islamic Philosophy of Science
A New System of Philosophy-Science from the Biological Standpoint
On Justice and the Nature of Man: A Commentary on Surah Al-Nisa' (4):58 and Surah Al-Mu'minun (23):12-14
The Natural and the Supernatural in the Middle Ages
God and Philosophy
From Satori to Silicon Valley: San Francisco and the American Counterculture
Islam and Secularism
Philosophy: The Essential Study Guide
Genesis and Development of a Scientific Fact
Representations of the Intellectual
Can Non-Europeans Think?
The Holocaust Industry: Reflections on the Exploitation of Jewish Suffering
Maus I: A Survivor's Tale: My Father Bleeds History
Slowness
The Architecture of Happiness
The New Rulers of the World
Seeds of Destruction: The Hidden Agenda of Genetic Manipulation


Nurshafira Noh's favorite books »